Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
TUTONG, Selasa, 16 Jun. - Bagi memperingati peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah, Negara Brunei Darussalam (NBD) menyambut ketibaan Awal Tahun 1448 Hijrah dengan Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1448.
Majlis tersebut diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara mulai pukul 5.00 petang tadi. Bagi Daerah Tutong, tumpuan majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, di sini.
Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Terdahulu, bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah 1447 dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Mohd Waiz bin Tajuddin. Seterusnya menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah diimamkan oleh imam masjid tersebut, Awang Sahibol Omar bin Haji Mohd. Yusof yang kemudiannya mengetuai bacaan Doa Awal Tahun Hijrah 1448.
Sejurus selepas itu, jemaah menunaikan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan diikuti dengan bacaan Doa Sunat Hajat yang diketuai oleh imam masjid berkenaan.
Majlis berkenaan dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Bank Baiduri. Tema bagi majlis pada tahun ini ialah 'Hijrah Penyelamat Akidah'.